Perihal ‘Tuba’ Pembinasa
Kehadirannya meruntuh sistem fisiologi manusia. Kehadirannya menggoncang aman bahagia rumahtangga. Kehadirannya menggegar harmoni tanah berdaulat.Kehadirannya memecah kedamaian alam yang sekian lama menjadi tempat berlindung marga. Urat dan nadi dirajang menjadi cebisan-cebisan kecil yang tak terlihat. Setiap inci urat darah terhiris di alam khayalan binasa di alam nyata.´Binasalah jiwa´ yang mencarimu wahai syurga dunia....!Satu demi satu anak bangsa terjelepok di bawah rangkulan kekuasaannya. Akal dituba racun berbisa, pedihnya menjalar hingga ke sum-sum tulang, rebah perlahan-lahan tersungkur di lorong gelap dengan nama ´bangkai bernyawa´. Sekali tercium haruman berbisa, ghairahnya terasa menerjang dada. Dunia bisa jadi bebola yang ligat berputar – pusing dan terus pusing membawa nafas menjelajah ke ruang yang terasing. Nikmat dan bahagia yang pinjaman cuma.Awal abad ke-19, meja bulat di Shanghai, China, menjadi tumpuan para pemimpin seluruh dunia untuk membicarakan perihal ´tuba´ yang merincih setiap inci tubuh anak bangsa. ´Tuba´ ini tidak pernah mengenal mangsa baik fakir, insan ´berkot´ dan bertali leher mahupun insan yang sering menjadi tumpuan ramai (selebriti). ´Tuba´ yang dimaksudkan ini adalah najis dadah, pembunuh nombor satu, punca kepada keruntuhan sesebuah negara dan penyakit berbahaya dalam masyarakat. Persidangan meja bulat itu meletakkan satu resolusi – Inggeris berkuasa mengawal dan mengambil alih pengimportan dan penjualan candu. Konvensyen khas di Geneva mengenai penjualan candu pada tahun 1952 sekali lagi membincangkan perihal ´tuba´ yang boleh merosakkan manusia. Konvensyen menetapkan penjualan dadah (candu) hanya kepada mereka yang berdaftar sahaja. Metodologi songsang ini seolah-olah satu galakan kepada komuniti penagih untuk terus menagih secara sah. Implikasinya, awal tahun 1960 – budaya menghisap candu, ganja dan pelbagai dadah generasi terbaru (sintetik) menular dan menjadi barah, menyerang tanpa mengira bangsa dan warna kulit.Di Malaysia, pengharaman dadah dan pewartaan sebagai musuh utama negara telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan lagi. Pelbagai akta dan undang-undang berkaitan penjualan, penyalahgunaan dadah dan aktiviti pengedarannya dirangka oleh kerajaan bagi mengekang permasalahan ini. Akta Dadah Berbahaya 39B – hukuman mati mandatori (gantung sampai mati) boleh dikenakan ke atas mereka yang menyimpan, mengedar, dan memproses dadah. Akta lain yang diwujudkan oleh kerajaan berhubungan dengan usaha membendung penyalahgunaan najis dadah ini Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.Seseorang itu dianggap sebagai pengedar dadah sekiranya didapati memiliki dadah jenis heroin, morfin atau monosetilmen 15 gram atau lebih, candu masak atau candu mentah seberat 1000 gram atau lebih. Mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 39B yang membawa kepada hukuman mati mandatori. Kemunculan dadah generasi kedua seperti ectasy, eramin 5, syabu dan pelbagai jenis dadah perangsang lain ternyata satu ancaman paling berbahaya masa kini. Penjualan bahan-bahan terlarang ini di pusat-pusat hiburan secara wewenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, menyebabkan ramai anak muda terjebak ke kancah yang negatif. Lebih malang lagi, ´tuba´ yang dahulunya dikesan di bandar-bandar besar telah menular ke seluruh desa termasuklah di kawasan FELDA di seluruh negara. Fatwa tentang pengharaman najis dadah ini telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan beberapa tahun lalu. Dan, kesediaan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memfatwakan semula pengharaman dadah berdasar ijtihad Islam amat dialu-alukan bagi mengekang gejala penagihan di kalangan umat Islam. Umat Islam perlu sedar, hukum tentang bahaya dadah ini dinyatakan secara jelas oleh ulama kini berdasarkan dalil aqli dan naqli biarpun tidak dinyatakan oleh ulama-ulama yang terdahulu. Berpandukan kepada dalil-dalil ini dengan penelitian terhadap impak buruk pengambilan dadah, maka dadah diharamkan sama seperti arak dan judi.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:“Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)Ibn Tamiyah dalam kitabnya “Al-Siasatus Syariah” menyatakan, penggunaan ´hasyish´ atau ganja itu adalah haram hukumnya. Hukum Islam yang boleh diberikan ke atas mereka yang menggunakan ganja itu sama dengan hukuman ke atas para peminum arak iaitu 40 kali sebatan. Dalil aqli yang digunakan oleh Ibn Tamiyah dalam membicarakan hukum ini adalah, perbuatan menghisap ganja menghalang ingatan manusia terhadap Allah dan ibadah solat. Ibn Tamiyah juga menjelaskan, pengharaman ganja ini bersesuaian dengan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Rasulullah bahawa setiap yang memabukkan itu adalah haram. Dr Ahmad Sayuqi Al-Fanjari telah mengeluarkan satu hujah yang cukup jelas berkenaan hukum dadah sebagai haram. Ia telah disiarkan oleh majalah Waliyul Islam pada tahun 1985. Menurut Dr Ahmad Sayugi, dadah haram kerana ia membawa kepada ketidak sempurnaan akal untuk berfikir dan menakul, impak dadah amat burk terhadap mobiliti sosial kerana membawa kepada pengangguran dan merosakkan jiwa masyarakat serta menyebabkan penagih mati lebih awal yang boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan membunuh diri.Firman Allah yang bermaksud:“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan melainkan dengan cara yang baik.” (Surah Al-An´am: 151)Wahai jiwa yang suci dan bersih... Tanyakan pada diri sendiri. Adakah sanggup ´menyeksa jiwa´ hanya kerana gilakan khayalan dunia? Tanyakan pada diri...Adakah sanggup ´menongkat langit´ jika ´tangan dan lutut´ menggigil, dihembus angin rebah ke bumi? Persoalan-persoalan ini jawapannya hanya ada pada diri sendiri.Bangsa kita bangsa merdeka. Bangsa kita bangsa yang gagah. Bangsa kita adalah bangsa yang merentas sejarah. Jika langkah-langkah perlu tidak diambil untuk mengekang gejala penagihan dadah ini kesannya cukup buruk terhadap keharmonian negara. Bangsa kita akan jadi bangsa yang ´merdeka´ hanya pada nama. Bangsa kita akan dikenang sebagai bangsa yang ´gagah´ juga hanya pada catatan sejarah. Bangsa kita tidak lagi menjadi bangsa yang mencipta sejarah tetapi akan tercatat di lipatan sejarah sebagai bangsa yang binasa akibat dadah.
Ini pesanan dari sahabat untuk sahabat…Tolong ingatkan kat kengkawan,DADAH dalam apa bentuk pun yang disalah guna tetap berdosa…datang GIGS,enjoy only musics,not DRUGS…..salam 165..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan