Isnin, 28 September 2009

Salam IDUL FITRI buat semua!!


Salam IDUL FITRI buat semua!!
“minal aidin walfaizin walmaqbulin”!!
Saban tahun bulan Syawal adalah bulan yang paling dinanti-nantikan, malah bulan yang amat dikenali dan diingati oleh seluruh umat islam Malaysia. Tidak lain kerana IDUL FITRI yang menjelang pada 1hb Syawal. Semua akan ingat hari raya kerana cuti raya, kueh raya, baju raya, ketupat & rendang raya, duit raya, kasut raya, kereta raya, langsir raya dan sebagainya. Kehadirannya begitu diraikan, tidak seperti bulan-bulan hijrah yang lain. Persiapan untuknya juga luar biasa hingga seolah-olah kalendar hijrah hanya ada Syawal (kerana ia begitu diingati, dinanti dan di-rai).
Walaupun ramai yang faham erti hari istimewa ini, namun masih ramai yang tak tahu apatah lagi menghayati ERTI IDUL FITRI ini yang rata-ratanya juga dikenali sebagai Hari Raya Fitrah.
Apa fitrah kita? Adakah fitrah kita itu ertinya kebiasaan kita, seolah selepas berlalunya ramadhan kita akan kembali kepada kebiasaan kita (rutin hidup kita) iaitu makan-minum, tahap & mutu ibadat, adaban & disiplin nafsu dan sebagainya. Tak hairanlah jika kata fitr juga dikatakan berasal dari kata futhûr sehingga Idul Fitri diertikan bahawa kita kembali lagi kepada kegiatan makan siang hari seperti biasa. Adakah itu makna fitrah kepada kita?
Atau, adakah fitrah kita itu adalah ASAL kita? Tak hairanlah tatkala Idul Fitri semua warga kembali ke asalnya (kampong halamannya). Adakah itu maksud ASAL (fitrah) bagi kita?
Atau, adakah fitrah itu fahamnya adalah ‘bayar wang zakat fitrah’? Tak hairanlah berpusu-pusu muslim belajar nak ucap ijazah zakat depan Tuan Amil pemungut zakat yang tetiba muncul mejanya di Pasar Satok?. Malah tak kurang yang meyamakan itu dengan kadaran zakat hartanya yang tak perlu lagi dizakatkan kerana sudah berzakat fitrah di Hari Raya Fitrah. Adakah itu erti fitrah bagi kita?
Apakah yang fitrah buat kita?? Apakah fitrah ini merujuk kepada sifat. Jika ia sifat, apakah ia sifat pada diri? Adakah ia meliputi sifat alam diri yang berupa jasmani dan ruhaniah kita yang berlapis-lapis (bertingkat / bertahap) sifatnya. Dari alam nyata yang nampak susuk fizik hinggalah ke lapis susuk tubuh roh kita yang di dalam? Apakah ia susuk akal atau jiwa kita? Apakah fitrah ini adalah sifat hati yang prosakata ‘kembali kepada fitrah’ itu menegaskan agar kita “KEMBALI KEPADA HATI yang asalnya SUCI”?
Adapun kata arab ID atau AUD, berasal dari kata “‘Âda-Ya’ûdu-’îdan-wa-’audan” yang bermaksud KEMBALI. Manakala kata arab FITR berasal dari kata yang bermaksud FITRAH. Menurut bahasa Arab (berasal dari kata fathara) yang berarti “membuka” atau “menguak”. Makna fitrah sendiri bererti “keadaan yang suci”. Lalu, IDUL FITRI diertikan sebagai KEMBALI KEPADA FITRAH.
“Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada agama (ALLAH), (tetapkanlah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan atas fitrah Allah. (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”(QS Ar-Rum : 30)
Dalam Islam sendiri terdapat konsep bahawa setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Rasulullah SAW bersabda
“Setiap bayi dilahirkan dlam keadaan suci (fitrah), maka ibu atau bapaknya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi,” (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi).
Fitrah yang dimaksudkan adalah keadaan yang suci dan tidak berdosa sedikitpun dan telah beriman kepada Allah SWT. Seseorang yang kembali ke fitrahnya berarti ia mencari kesucian dan keyakinannya yang asal (asli), sebagaimana ketika ia dilahirkan.
Sebahagian ahli tafsir berpendapat; Fitrah Allah itu bererti kecenderungan dan kesediaan kita sebagai manusia terhadap agama yang haq. Dan pandangan Islam, walaupun manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, namun kerana kelemahan iman yang ada pada dirinya sehingga membuatkan manusia mudah terjerumus ke lembah dosa dan membawa kesengsaraan zahir dan batinnya. Inilah yang menjadi noda hitam yang mengotori fitrah dirinya sendiri. Lalu, dia bertanggung-jawab untuk mengawal dan mengamalkan nilai-nilai fitrah (suci) yang ada pada dirinya. Allah SWT berfirman “(Allah) mengilhami (jiwa) kejahatan dan kebaikan. Sungguh, berbahagialah sesiapa yang menyucikannya. Dan rugilah siapa yang mencemarkannya.”(QS asy-Syams: 8-10).
KEMBALI
Sesudah mula mengenal apa fitrah kita, yang paling utamanya untuk kita sempena IDUL FITRI ini adalah UNTUK KEMBALI KEPADA FITRAH ITU. Kata KEMBALI yang secara umumnya mudah difahami, iaitu membawa erti ‘pulang ke pangkuan’. Mudah disebut NAMUN sesuatu yang sebenarnya SUKAR DIKOTAKAN. Apatah lagi tatkala kita LUPA ASALAN (FITRAH) KITA, LUPA TUJUAN KITA, LUPA MATLAMAT KITA akibat HIJAB JIWA yang melanda qalbu kita. Yang mana noda hitam jiwa ini mungkin berlaku akibat dosa-dosa kita sendiri. Dosa kepada ALLAH, dosa kepada ibu-bapa, dosa kepada GURU-GURU dan sebagainya.
Allah menyebut kata ‘kembali’ ini di dalam Al-Quran melalui beberapa firmanNya. Selain ‘ID’ kata lain untuk kembali dalam bahasa Arab adalah “ Rujû’ ” yang berasal dari kata raja’a-yarji’u-rujû’an. Kita lebih akrab (sinonim) menggunakan kata Rujû’ (rujuk) ini dalam urusan nikah-cerai perkahwinan. Namun di dalam Al-Qur’an kata Ruju’ sering digunakan untuk menunjukkan kembalinya kita kepada Allah. Kata Innalillahi wa inna ilaihi raji’un, bermaksud kita semua adalah kepunyaan Allah dan hanya kepada-Nya kita semua Rujû’ (kembali). Selain itu kata “Inabah” pada firmanNya “Ittabi’ Sabîla man Anâba Ilayya Tsumma Ilayya Marji’ukum” juga bermaksud ‘kembali’. Malah satu lagi kata yang bererti ‘kembali’ dalam bahasa Arab yang sangat khas adalah kata arab “Taubat”. Taubat berasal dari kata Tâba- Yatûbu-Taubatan. Orang yang kembali disebut Tâib dan yang kembalinya berulang-ulang dan terus-menerus disebut Tawwâb. Contohnya Allah menyebut orang-orang yang banyak bertaubat dan senang melakukan kesucian melalui firmanNya: Innallãha yuhibbu tawwãbina wa yuhibul mutathahhirin, bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat dan memelihara kesucian dirinya” (QS Al-Baqarah : 222). Asma Allah ‘Ya Tawwab’ membawa maksud Yang menerima Taubat (yang menerima pesalah itu KEMBALI).
Maka kini kita tahu bahawa bicara ALLAH untuk kata KEMBALI ini ada banyak kataNya iaitu: ID, INABAH, RUJU’ dan TAUBAT.
Dalam ilmu tasawuf, keempatnya ini mempunyai tingkatannya (al-maqammat @ maqam @ stesyen ) tersendiri. Pada maqam yang pertama adalah yaqzhah atau kesadaran iaitu TINGKAT KEINSAFAN yang Allah hidupkan ke dalam naluri atau jiwa kita terhadap segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Dari yaqzhah seseorang meningkat kepada maqam atau stesyen kedua iaitu TAUBAT. Dari taubat naik kepada maqam yang ketiga yaitu MUHASABAH. Setelah maqam muhasabah barulah maqam INABAH.
Samada kesedaran ini hadir kerana ditimpa musibah (insiden) dalam hidup kita, atau kerana TEGURAN dan NASIHAT dari orang lain, atau kerana terbaca buku-buku ilmiah mahupun artikel sebegini, atau juga melalui mimpi-mimpi perihal peringatan akan kematian atau kecelakaan, atau juga melalui muhasabah diri yang dalam tatkala bermeditasi ataupun ketika menghayati prinsip kehidupan yang menyucikan segalanya itu atas kehendak-Nya juga kerana sifat kasih dan sayang-Nya kepada kita untuk mengizinkan yaqzhah atau kesadaran itu berlaku ke alam diri kita. Ketika inilah, kita akan ‘KEMBALI’ yang disebut IDUL FITRI! (kembali kepada fitrah).
Pada waktu yaqzhah ini, kita mahu kembali pada fitrah kita. Sebagai abdi padaNya kita semua mempunyai fitrah kesucian iaitu keinginan untuk kembali kepada Allah sebagai asal zat yang menciptakan kita. Keinginan itu ada jauh dalam hati atau QALBU kita. DariNya kita ada, denganNya kita hidup (nafas) dan kepadaNya kita mahu tujui. Allah tempatkan ‘rasa’ itu dalam qalbu kita seumpama sebuah lampu pelita namun kejahilan kita seringkali mengakibatkan lampu ini malap, tertutup atau kotor. Al-Quran menyebut pelita ini sebagai sebuah misykat, firman Allah “Perumpamaan cahaya Allah itu seperti misykat” (QS An-Nur : 35). Al-Qur’an menggambarkan hati kita itu seperti misykat dan di dalamnya ada misbah (sumbu api). Tetapi kebanyakan misykat kita itu tertutup (berjelaga) dan cahaya di dalam itu tidak boleh terpancar keluar. Cahaya fitrah kita itu tidak keluar kerana tertutup oleh dosa-dosa kita. Tetapi pada orang-orang tertentu yang membersihkan hatinya secara sungguh-sungguh, misykat itu menjadi sangat cemerlang seperti kaca. Al-Quran mengatakan “Kacanya itu seakan-akan bintang yang cemerlang, yang dinyalakan apinya dari pohon-pohon Zaitun yang diberkati, yang tidak di timur dan tidak di barat. Hampir-hampir minyaknya saja bersinar padahal tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya” (QS 24:35).
Rasa rindu pada cahaya fitrah itu akan membawa kita kembali. Seumpama kita kembali ke kampong halaman setiap kali tibanya Hari Raya, kita melakukannya dengan penuh rela kerana melayan rasa rindu itu. Kita terpanggil-panggil olehnya, terpanggil untuk pulang ke asal kita. Dalam kontek yaqzhah atau kesadaran, yang memanggil kita untuk kembali itu adalah cahaya fitrah, lampu yang ada di dalam misykat qalbu kita. Misykat itu adalah bahagian qalbu kita yang paling dalam dan masih menyimpan cahaya Ilahi itu. Sinarnya tidak kelihatan kerana kita terlalu terpesona dengan kehidupan dunia ini. NAMUN kerinduan itu masih ada lalu, kerinduan itu akan tiba-tiba muncul dalam diri kita di satu saat yang disebut yaqzhah!! Kerinduan yang akan menimbulkan kesadaran untuk kembali ke fitrah itu!
Adalah telah menjadi kebiasaan (fitrah), seseorang akan insaf bila ia dilanda MUSIBAH. Insaf membawanya kembali mengingati dan PASRAH kepada Allah. Oleh itu Rasul ada bersabda: “Sesungguhnya tidak ada baiknya orang yang tidak pernah mendapat musibah”. Bila ada masalah, seseorang akan biasanya kembali kepada Allah, bermunajat dan meminta Ihsan Allah. Samalah halnya tatkala RAMADHAN hadir dengan berbagai ujian dan cabaran. Dugaan berlapar, dahaga, kekurangan tenaga, mendiamkan nafsu, mengolah ibadah siang dan malam harinya, menjaga indera dan kesucian diri, membayar zakat fitrah dan bermacamnya lagi; adalah merupakan SEBUAH PERLATIHAN yang harus ditempoh demi sebuah keinsafan menuju kesedaran. Masalah, ujian, dugaan atau musibah adalah pencetus kepada yaqzhah (kesedaran) dan seterusnya menggerakkan insan itu untuk IDUL FITRI (kembali kepada fitrah). Melalui inilah kita kembali membersihkan misykat qalbu kita dan mulailah perlahan-lahan cahaya Ilahi itu keluar semula.
Pun begitu tak kurang juga yang insafnya sementara atau pura-pura. Tatkala susah, dia ‘kembali kepada fitrah’ dengan penuh keinsafan namun bila keadaan kembali seperti asal, dia kembali lupa semua. Macam musim perayaan ni, kita penuh lelah menjalani ibadat puasa (dugaan dan musibah yang berbagai bagi sesetengah orang), kemudiannya pulang IDUL FITRI (penuh keinsafan dari fadhilat ramadhan yang ditempuhi), bila rindu terjawap dan keadaan kembali seperti rutin asal, ia IDUL FITRI (kembali kepada kelalaiannya).
Apakah erti IDUL FITRI buat kita??
IDUL FITRI – KEMBALI KEPADA FITRAH. Inilah sebenar-benar pengertian IDUL FITRI yang harus kita kunyah. Bukan semata HARI RAYA yang hakikat maknanya kita tidak hayati dan dirai-kan dengan canggung akibat salah tafsiran yang ada. Kita haruslah meraikan Idul Fitri ini sebagai SEBUAH “KEPULANGAN KEPADA FITRAH” iaitu asal kita yang mencari pangkuan PELUKAN ILLAHI bukannya meraikan hari kebebasan dari dugaan dan ujian ramadhan.
Terakhir,kami wargakerja SMF belum terlambat mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,MAAF ZAHIR BATIN kepada semua.!
“minal aidin walfaizin walmaqbulin”!!

Mudah-mudahan ada kebaikkan untuk mereka yang mahu mengambilnya dari DIA yang Maha Pemilik!

Rabu, 9 September 2009

BERITA TERKINI.....GIG DITUNDA..


Salam Ramadhan,gig TRIBUTE TO THE ABYSS sekali lagi akan ditunda ke satu masa yang akan ditetapkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.Sila rujuk laman blog ini dan myspace.com/sarawakmetalforce untuk berita terkini dan rasmi tentang gig itu nanti..Harap maklum...